Jenis-Jenis Hakmilik 1.0

blog-image

1. Hakmilik merujuk pada suatu dokumen atau geran yang mengandungi maklumat berkenaan sesuatu tanah, antara lain seperti rekod ketuanpunyaan, sekatan-sekatan, jumlah cukai tahunan, lokaliti dan saiz hartanah tersebut.

2. Terdapat beberapa jenis geran hakmilik di mana jenis yang menjadi kebiasaan umum adalah Geran Hakmilik Tetap dan Geran Hakmilik Sementara.

3. Geran Hakmilik Tetap atau Final Title adalah geran yang dikeluarkan menurut Seksyen 90 Kanun Tanah Negara (KTN) setelah tanah tersebut diukur secara halus berpandukan pada Seksyen 396 KTN dan ditandakan sempadannya menurut pelan tanah yang disediakan dan diluluskan oleh Pengarah Ukur dan Pemetaaan.

4. Sebaliknya, Geran Hakmilik Sementara dikeluarkan menurut Seksyen 178 KTN sementara proses pengukuran, pemetaan dan pecah sempadan ke atas sesuatu tanah itu dimuktamadkan oleh Pengarah Ukur dan Pemetaan atau sementara menunggu proses Geran Tetap hartanah tersebut diselesaikan.

5. Kedua-dua jenis Geran ini boleh dikeluarkan oleh Pentadbir Tanah di sesuatu Daerah (PTD) atau Pejabat Pendaftar di setiap Negeri (PTG) berpandukan pada syarat-syarat yang telah diperuntukkan di bawah Seksyen 77 (3) KTN seperti yang berikut:-

(a) PTG (Seksyen 77(3)(a) KTN) – wajar untuk mengeluarkan Geran hakmilik bagi lot tanah-tanah yang berikut:-

  • Tanah pekan atau tanah bandar;
  • Tanah desa yang berukuran melebihi 10 ekar atau 4 hektar;
  • Tepi pantai atau dasar laut;
  • Tanah desa yang berukuran kurang dari 10 ekar atau 4 hektar sepertimana yang diarahkan oleh Pihak Berkuasa Negeri.

(b) PTD (Seksyen 77(3)(b) KTN) – wajar untuk mengeluarkan Geran hakmilik bagi lot tanah-tanah seperti yang berikut:-

  • Mana-mana lot tanah desa yang berukuran tidak melebihi 10 ekar atau 4 hektar;
  • Tanah-tanah di bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960.

6. Geran Hakmilik Tetap (Final Title)

(a) Terdapat 2 jenis hakmilik iaitu hakmilik yang bersifat selama-lamanya dan hakmilik untuk suatu tempoh tertentu atau pajakan;

(b) Kebiasaannya, tempoh hakmilik pajakan yang diberikan adalah selama 60 atau 99 tahun;

(c) Boleh dikeluarkan di bawah hakmilik Pejabat Pendaftar (PTG) atau Hakmilik Pejabat Tanah (PTD).

7. Hakmilik Tetap Pejabat Pendaftar – Seksyen 86 KTN

(a) Geran Hakmilik Tetap yang dikeluarkan oleh PTG terdiri dari:-

  • Geran Negeri (GN) – sekiranya hakmilik tanah-tanah tersebut adalah untuk selama-lamanya atau erti kata lain, dipegang di bawah Geran Hakmilik Tetap selama-lamanya; atau
  • Geran Pajakan Negeri (PN) – sekiranya hakmilik tanah-tanah tersebut adalah merupakan hakmilik tetap pajakan.

(b) Segala rekod berkaitan dengan Geran-geran ini adalah disimpan di PTG.

8. Hakmilik Tetap Pejabat Tanah – Seksyen 87 KTN

(a) Geran Hakmilik Tetap yang dikeluarkan oleh PTD pula terbahagi kepada yang berikut:-

  • Geran Mukim (GM) – bagi tanah-tanah yang didaftarkan di bawah Hakmilik Tetap Selama-lamanya; atau
  • Geran Pajakan Mukim (PM) – bagi tanah-tanah yang didaftarkan di bawah Hakmilik Tetap Pajakan.

(b) Segala rekod berkaitan dengan Geran-geran ini adalah disimpan di PTD.

9. Geran Hakmilik Sementara (Qualified Title) – Seksyen 177 KTN

(a) Serupa seperti Geran Hakmilik Tetap, Geran Hakmilik Sementara boleh dikeluarkan oleh PTG atau PTD;

(b) Bagi tanah-tanah di bawah hakmilik Pejabat Pendaftar atau PTG yang belum diukur secara halus, Geran yang dikeluarkan adalah dikenali sebagai Hakmilik Sementara Daftar atau HS(D);

(c) Geran HS(D) ini didaftarkan terlebih dahulu sementara menunggu proses pengukuran, pemetaan dan penyempadanan bagi tanah tersebut dimuktamadkan;

(d) Setelah proses tersebut dimuktamadkan, tanah tersebut akan akhirnya dipegang di bawah Geran Negeri atau Geran Pajakan Negeri bergantung pada jenis hakmilik tanah tersebut (selama-lamanya atau pajakan);

(e) Bagi tanah-tanah di bawah hakmilik Pejabat Tanah pula, Geran Sementara yang dikeluarkan adalah dikenali sebagai Hakmilik Sementara Mukim atau HS(M);

(f) Serupa dengan Geran HS(D), Geran HS(M) juga didaftarkan terlebih dahulu sementara menunggu proses pengukuran, pemetaan dan pemyempadanan bagi tanah-tanah di bawah Hakmilik PTD dimuktamadkan;

(g) Tanah-tanah yang didaftarkan di bawah Geran HS(M) ini akan akhirnya dipegang di bawah Geran Mukim atau Pajakan Mukim.

10. Tanah pegangan bebas atau freehold adalah kebiasaannya merujuk pada hartanah yang didaftarkan di bawah Geran Negeri atau Geran Mukim dek kerana jenis hakmiliknya yang bersifat selama-lamanya.

11. Tanah-tanah pegangan pajakan atau leasehold pula akan didaftarkan di bawah Geran Pajakan Negeri atau Geran Pajakan Mukim.

12. Tanah-tanah di bawah Geran Pajakan Negeri dan Mukim boleh diperbaharui sekiranya tempoh pajakan telah tamat dengan membuat suatu bayaran premium kepada Kerajaan Negeri.




  • Previous: Administration of Estates in Malaysia